Kau hadir tanpa dipinta
Entah kuasa apa yang telah merasuk aku
Memberi peluang kepada dirimu untuk mendekati hati aku
Peluang yang tidak pernah aku berikan kepada sesiapa pun sebelum ini
Benteng yang terlalu tegar aku bina selama ini
Berjaya diruntuhkan dengan kehadiranmu.
Kau pernah bertanya kepada aku
Apa yang diperlukan untuk mendapatkan keyakinan aku
Dan aku menjawab
Aku tidak memerlukan harta kekayaan
Jauh sekali rupa yang menawan
Hanya tiga perkara yang menjadi sandaran.
Keikhlasan... dalam mencintaiku
Kejujuran... dalam setiap yang dilafazkan
Kesungguhan... yakinkan aku bahawa aku tidak tersalah membuat pilihan.
Hari berlalu terasa indah hanya sementara
Janji yang dilafazkan dahulu terasa dusta semata-mata
Benarlah kata bidalan
Jika tidak mampu untuk mengotakan janji
Jangan pernah sesekali berani untuk berjanji
Hanya luka yang akan diberi.
Demi kau
Aku belajar untuk menurunkan keegoanku
Yang tidak pernah sama sekali aku lakukan
Untuk seorang insan yang bernama lelaki.
Demi kau
Aku sentiasa mengalah, memujuk, membuang jauh segala rasa kecil hatiku
Walau ada kalanya aku sendiri tidak memahami
Apa salah dan silapku
Dimana keterlanjuran kata-kataku
Sehingga membuat kau sering menjauh hati.
Yang aku tahu
Di dalam setiap perhubungan itu sentiasa ada pasang surutnya
Sentiasa ada badai yang akan melanda
Dan dengan berfikir sebegitu yang membuatkan aku bertahan
Hanya itu.
Demi kau
Aku membenarkan diriku berada di dalam kesedihan
Membenarkan air mata ini gugur untuk seseorang
Yang tidak layak aku rasakan untuk ditangisi.
Aku ingin kau tahu
Betapa sedih bila mengetahui diri ini dipermainkan
Betapa sedih bila mengetahui diri ini dianggap sebagai tempat persinggahan
Betapa sedih bila mengetahui diri ini hanya diperlukan disaat kebosanan.
Aku ingin kau tahu
Tidak sepantasnya kau meragui cinta yang diberikan
Yang kau sering menguji cinta wanitanya
Yang tidak pernah mempunyai episod cinta di dalam hidupnya sebelum ini
Wanita yang berharap kau dapat menjadi yang pertama dan terakhir
Di dalam kisah cintanya.
Aku ingin kau tahu
Bukan kisah dongeng yang aku harapkan
Dimana setiap pengakhirannya adalah 'happy ending'
Yang aku harapkan
Kau dapat melihat siapa sebenarnya aku
Memahami isi hatiku
Berada disisi di kala susah mahupun senang
Bersama-sama mengharungi segala ujian yang datang daripadaNya
Dan mungkin salah aku
Salah aku... kerana meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk dicapai.
Ya... Aku ingin kau tahu segala-galanya
Segala yang tersirat jauh di sudut hati ini
Tapi itu semua hanya angan dan sedarku
Aku hanya mampu menjerit sekuat hati
Hanya di dalam hati... Hanya di situ.
Aku bukan wanita
Yang mudah lemah kerana cinta
Mudah layu kerana kata-kata manis seorang lelaki
Mudah tersentuh dengan lakonan romantis seorang lelaki.
Jika aku bukan pilihanmu
Itu bukanlah pengakhirannya
Mungkin kehadiranmu adalah suatu persinggahan di dalam coretan hidupku
Kau memberikan aku pengalaman yang berharga untuk dikenang
Memberikan aku pengajaran tentang apa itu cinta
Walau tidak dapat aku rasakan sepenuhnya dengan dirimu.
Dan air mata itu gugur sekali lagi
Bukan untuk meratapi lagi perpisahan itu
Tetapi sebagai tanda kesyukuran
Kerana Dia mendengar doaku
"KAU jauhkanlah dia dari hatiku.. Dari ingatanku.. Jika benar dia bukan tercipta untukku"
'Jika indah satu pertemuan, jangan akhiri dengan perpisahan. Jika suci satu perkenalan, jangan dicemari dengan pendustaan. Dan jika bernilai sebuah perhubungan, hargailah ia dengan keikhlasan.'
No comments:
Post a Comment