Dah hampir setahun lebih berlalu. dan hari ini baru aku dapat tengok video 'the making of my sista wedding'. can you believe that? hahahah. bukan apa. nak dijadikan cerita, photographer yang my sis pilih dulu takde plak include sekali video making dalam package dia kann. ke ade tapi aku je tak tahu? entah. tapi kata mak memang takdee. kan dah membebel sampai sekarang nie mak aku tu. heeee. lucky sebab pakcik aku memang ade ambik sikit video ala-ala the making gitu lah time tu. dapatlah jugak nak simpan buat kenangan kan. tapi sebab diterbangkan jauh dari Kedah dan my sis asyik lupa jee nak bawak balik rumah, makanya hari ini baru dapat tengok. sadis !
Tengok punya tengok. gelak punya gelak. tetibe, aku ternampak seseorang di dalam tu. seseorang yang telah meninggalkan aku untuk selamanya. seseorang yang aku tak mungkin dapat sentuh lagi di dunia ini. dan sepantas itu juga si kecik memandang ke arah aku. 'Kak Ngah, nenek....' dengan nada perlahan je dia bersuara. dan aku hanya terdiam disitu. aku mengerti kenapa dia memandang ke arah aku ketika itu. lalu, kenangan pada hari itu menggamit semula memori ku.
Malam itu.
Seperti biasa, aku sedang menyiapkan report praktikal aku yang perlu dihantar dalam masa 4 hari sahaja lagi. dan seperti biasa juga, sejak seminggu itu aku tidur agak lambat bagi menyiapkan report. selagi jam tidak menunjukkan pukul 4 ke 5 pagi, selagi itu aku tidak akan melelapkan mata ini. kadang-kadang, sesudah subuh baru aku akan pergi beradu. tetapi pada malam itu, fikiran aku sedikit terganggu. aku kerap teringat pada nenek. sehingga aku tidak dapat meneruskan membuat report. aku mengambil keputusan untuk tidur awal pada malam itu. jam menunjukkan pukul 2 pagi ketika itu. sehinggalah mendengar azan subuh, aku masih tidak dapat melelapkan mata. sungguh ! betapa kuatnya ingatan aku pada nenek malam itu.
Pukul 7 lebih pagi itu.
Aku rasa baru sahaja memasuki alam mimpi. tetiba, abah kejutkan aku dengan begitu kuat sekali memanggil nama aku. dalam keadaan mamai, sayup-sayup aku terdengar abah menyebut nama nenek. hati mula dah tak sedap. rupanya ingatan semalam terhadap nenek seakan memberi aku petunjuk. 'Nenek dah meninggal...' aku terus terdiam. duduk sebentar di tilam. setitik air mata pun tidak jatuh di pipi ketika itu. aku macam tak percaya tapi dalam masa yang sama aku tak tahu kenapa tiada air mata yang mengalir keluar. mungkin aku tidak mahu menunjukkan rasa sedih itu di depan keluarga. entah. yang aku tahu, aku sering ingin kelihatan kuat di hadapan mereka terutama pada mak dan abah. walau pada hakikatnya, aku seorang yang tersangatlah mudah untuk mengalirkan air mata. tidak kira situasi gembira, apatah lagi keadaan sedih yang melibatkan orang yang aku sayang.
Sepanjang menunggu kepulangan mak dari tempat kerja.
Aku hanya setia menanti di atas kerusi. berfikir dan terus berfikir. tetiba, aku bersuara bertanya kepada abah. 'Bila nenek meninggal bah?' dan abah menjawab, 'Baru je lagi, dalam pukul 7 pagi tadi makcik Mah cakap...' dan aku terus diam dan berfikir lagi. bukankah sepanjang malam tadi aku asyik teringat pada nenek? setiap kali aku menutup mata, setiap kali itulah bayangan nenek selalu menjelma di dalam ingatan aku. mungkinkah itu rohnya yang datang untuk menemui aku buat kali terakhir? entah. aku sangat tidak dapat berfikir dengan sewarasnya ketika itu.
Di dalam kereta menuju ke negeri sembilan.
Suasana di dalam kereta sepi. deringan telefon tidak putus-putus kedengaran. jenazah akan dikebumikan sebelum zohor. ketika itu jam menunjukkan pukul 10 lebih. sempatkah aku sampai? sempatkah aku melihat jenazah nenek buat kali terakhir? sempatkah aku melihat jenazah dikebumikan? entah kenapa. bermacam halangan yang kami lalui pada hari itu. sepatutnya kami sempat sampai sebelum jenazah dikebumikan jika kami tidak tersalah jalan. kami terpaksa mengikut jalan yang agak jauh, tetiba, terpaksa berhenti pula kerana ada jalan yang sedang dibaiki, ditambah pula kami tidak tahu dimana terletaknya kubur kerana arwah pernah berpesan untuk dikebumikan di kampung halaman.
Mesti korang hairan kan kenapa aku boleh tak tahu di mana kampung halaman arwah? bukankah arwah nenek aku? ya. memang arwah nenek aku tetapi hanyalah nenek angkat aku. walaupun tiada ikatan kekeluargaan diantara kami, tetapi arwah lah yang menjaga aku sedari aku kecil, sedari aku mula melihat dunia ini. sebab itu aku dilahirkan di seremban walau hakikat sebenarnya kampungku bukanlah di sana. disebabkan mak dan abah bekerja disana ketika itu, dan disanalah juga mereka dipertemukan. begitu jugalah aku dan nenek. disanalah kami dipertemukan. mungkin inilah yang dinamakan takdir. walau tiada pertalian darah, arwah menganggap kami adik beradik sebagai cucu sendiri. memanjakan aku seperti cucu kesayangannnya. selalu menelefon bertanya khabar, bertanya bila hendak pulang berjumpa dengannya. kini, semua itu sudah tiada. paling terkilan, tidak sempat melihat perkahwinan ku.
Sesampai di tanah perkuburan.
Seperti yang dijangka. jenazah telah selamat dikebumikan. ketika kaki melangkah menuju ke pusara, talqin sedang kuat dibacakan. berdiri bulu roma aku saat itu. begitu kuat angin bertiup kencang. semakin kuat talqin dibacakan, semakin kuat angin yang bertiup. betapa tenang keadaan disekeliling, ditambah pula kawasan perkuburan yang terletak jauh di atas bukit. jujur, itulah kali pertama aku mendengar bacaan talqin secara live. belum pernah aku melihat sendiri jenazah dikebumikan. dan walau aku masih tidak berpeluang untuk melihatnya pada hari itu tetapi Alhamdulillah, aku masih berada bersama-sama disana memberikan penghormatan yang terakhir buat seseorang yang aku sayangi.
Selesai sahaja talqin dan doa dibacakan, dan sesudah orang ramai mula bergerak meninggalkan pusara, aku mula mendekatkan diri dengan pusara. saat aku duduk di hadapan pusara dan mula membacakan al-Fatihah, saat aku memegang batu nisan, saat itu jugalah air mata mulai gugur selaju-lajunya. aku tidak kisah dengan orang-orang yang berada disekeliling lagi, tidak kisah dengan perasan malu lagi. yang aku tahu, aku tidak mungkin dapat berjumpa, memegang dan mendengar lagi suara arwah selepas ini. suara yang akan memekik memanggil nama aku setiap kali aku pulang dan tiada lagi peluk cium nenek setiap kali menyambut kepulangan kami. seakan terlupa aku sedang berada di perkuburan dan seakan terlupa yang tidak baik menangis teresak-esak di depan pusara kerana itu akan menyeksa jenazah di dalam kubur. tetapi siapa yang dapat menghalang aku ketika itu? perasaan sedih yang ditahan tidak dapat dibendung lagi sehingga memaksa abah menarik aku bangun dan memeluk aku dengan erat. tapi itu masih belum cukup untuk meredakan perasaan aku ketika itu.
Sehinggalah aku dibawa ke kereta. tangisan mulai reda. semua yang berada di sana memandang aku. walau esak tangis sudah tiada tetapi air mata masih mengalir begitu laju. aku hanya mampu berdiam untuk menenangkan diri sendiri. ketika sampai di rumah arwah, aku hanya mampu melihat keadaan di sekeliling rumah. segala-galanya disitu mengingatkan aku dengan arwah. sepanjang makcik aku menceritakan kembali saat-saat terakhir arwah sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, sepanjang itu jugalah hati aku meronta-ronta menjerit supaya makcik berhenti daripada terus bercerita. bukan aku tidak mahu mendengar tetapi aku tidak sanggup untuk mendengar. setiap perkataan yang keluar seakan-akan menghiris perasaan aku. tetapi, aku hanya mampu tersandar dan mendengar tanpa memberi sebarang respon.
Orang kata inilah dinamakan dugaan. ujian yang Dia datangkan ketika aku sedang bertungkus-lumus menyiapkan report terakhir aku. yang bakal menentukan perjalanan aku dalam mendapatkan segulung ijazah. Alhamdulillah, semuanya dapat diatasi walau ada ketikanya aku tidak dapat fokus dan agak tertekan bila hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi masa yang tinggal dan musibah seperti ini pula perlu aku lalui. Sungguh, Allah lebih mengetahui segalanya daripada kita, maka kita seharusnya redha dengan setiap apa yang telah dirancangkan.
'Terima kasih kerana menjaga aku, menyayangi aku seperti cucumu sendiri, memberikan aku sepenuh kasih sayang yang selayaknya seorang cucu harapkan dari seorang nenek. Semoga Allah membalas segala jasa dan budi baikmu menjaga aku semasa aku mula melihat dunia ini. Segala jasamu tidak sempat untuk aku balas dan hanya Dia yang akan membalasnya. Tenanglah dikau di sana. Al-Fatihah.'
1 comment:
kau menulis seperti menulis di kertas Bahasa Melayu semasa di Sijil Pelajaran Malaysia, dan aku membaca seperti membaca satu cerpen pendek yang sedih T_T
Post a Comment